Sejarah سجاره Pinyin

Pinyin dimajukan oleh Zhou Youguang (1905–). [1] Zhou sedang bekerja di sebuah bank di bandaraya New York apabila beliau memutuskan untuk kembali ke China untuk membantu membangkitkan negara selepas perang. Beliau menjadi seorang profesor ekonomi di Shanghai. Kemudian beliau beralih ke bahasa dan penulisan, satu langkah yang banyak melindungi beliau daripada kemarahan Revolusi Kebudayaan Mao Zedong. Pada tahun 1950-an, beliau mula mengembangkan pinyin yang membantu berjuta-juta rakyat China — yang sukar memahami tulisan Cina — belajar membaca dan menulis.

Edisi pertama Hanyu Pinyin diluluskan dan diterima guna pada Sesi Kelima Kongres Rakyat Kebangsaan Pertama pada 11 Februari 1958. Kemudian, pinyin diperkenalkan di sekolah rendah sebagai kaedah mengajar sebutan Bahasa Mandarin Baku, serta digunakan untuk meningkatkan kadar celik huruf di kalangan golongan dewasa. Pada tahun 2001, Kerajaan China mengeluarkan Undang-undang Bahasa Umum Kebangsaan, yang menyediakan asas undang-undang untuk penggunaan pinyin.[2]

Sistem Hanyu Pinyin mengatasi sistem-sistem perumian terdahulu seperti Wade-Giles (1859; diubahsuai 1892) dan Perumian Peta Pos China, dan menggantikan Zhuyin sebagai kaedah panduan fonetik Cina di tanah besar China. Pada tahun 1979, Hanyu Pinyin diterima guna oleh Pertubuhan Piawaian Antarabangsa (ISO) sebagai perumian piawai untuk bahasa Cina moden (ISO-7098:1991). Pinyin juga diterima oleh Pemerintah Singapura, Pustaka Kongres, Persatuan Perpustakaan Amerika, banyak lagi institusi antarabangsa. Pinyin juga menjadi alat yang berguna untuk menginput teks Cina ke dalam komputer.